Ujian Kehamilan, Bila Patut Saya Lakukannya?

bilakah ujian kehamilan patut saya buat?
Ujian kehamilan di rumah mengesan kehadiran hormon kehamilan iaitu human chorionic gonadotrophin (hCG) dalam air kencing anda. Badan anda mula menghasilkan hCG apabila telur yang telah disenyawakan melekat (implantasi) pada uterus (rahim) anda. HCG dirembeskan oleh sel-sel yang akan membentuk plasenta (uri). Ia boleh dikesan dalam air kencing anda daripada kira-kira enam hingga 14 hari selepas persenyawaan berlaku. 

Dalam masa beberapa hari selepas implantasi, tahap hCG anda akan meningkat dengan cepat. Kebanyakan alat penguji kehamilan cukup sensitif untuk mengesan hCG dalam air kencing pada hari pertama haid anda sepatutnya datang. 

Jika anda mendapat keputusan negatif pada kali pertama membuat ujian, ini mungkin kerana jumlah hCG belum mencecah tahap di mana ia boleh dikesan. Kadang-kadang tahapnya belum cukup tinggi untuk dikesan pada hari pertama haid anda sepatutnya tiba. Jika haid anda lewat dan keputusan yang anda perolehi negatif, tunggu beberapa hari kemudian uji lagi. 

Anda akan dapati sesetengah alat penguji kehamilan lebih sensitif daripada yang lain. Alat penguji yang paling sensitif boleh menunjukkan anda hamil walaupun jika terdapat sedikit sahaja hCG dalam badan anda. 

Anda boleh mengetahui berapa sensitif alat penguji kehamilan itu dengan membaca maklumat yang ada pada kotaknya. Anda akan dapati bahawa konsentrasi hCG diukur dalam unit mili-Internasional (mIU) per mililiter. Alat penguji dengan kesensitifan 20 mIU/ml adalah lebih sensitif daripada yang berkesensitifan 50 mIU/ml. 

Bilakah saya patut membuat ujian?

Kebanyakan alat penguji boleh menunjukkan samada anda hamil atau tidak pada hari pertama haid anda lewat. Alat penguji yang lebih sensitif mungkin boleh mengesan hCG pada tahap yang rendah beberapa hari sebelum haid anda dijadualkan tiba. Walau bagaimanapun, membuat ujian seawal ini mungkin tidak memberikan anda keputusan yang tepat (lihat di bawah). 

Bergantung kepada alat penguji yang anda gunakan, anda boleh membuat ujian pada bila-bila masa sepanjang hari. Cuba jangan minum terlalu banyak sebelum membuat ujian kerana ini boleh mencairkan hCG dalam air kencing anda. 

Sesetengah alat penguji mencadangkan anda membuat ujian pada waktu pagi, apabila anda pergi ke tandas untuk kali pertama pada hari itu. Ini terutamanya jika anda menguji pada hari-hari yang awal. Ini kerana, tahap hCG menjadi lebih pekat dalam air kencing semasa anda tidur pada waktu malam, oleh itu ia lebih mudah dikesan dalam air kencing pertama anda. 

Jika haid anda tidak teratur, mungkin sukar untuk mengenalpasti bilakah haid anda sepatutnya tiba. Sebagai panduan, anda boleh gunakan kitaran yang paling panjang dalam beberapa bulan kebelakangan ini sebelum membuat ujian. 

Jika anda baru berhenti mengambil pil perancang, anda mungkin tidak tahu berapa panjangkah kitaran haid anda secara semula jadinya, dan mungkin membuat ujian samada terlalu awal atau terlalu lewat. Jika ujian anda negatif, anda patut membuat ujian lagi dalam masa tiga hari. 
Credit

0 Pembaca Setia:

Catat Ulasan