Tip Kekalkan Susu Ibu Kala Berpuasa

Ramai yang gusar susu ibu akan berkurangan kala berpuasa. Jangan khuatir, ikuti beberapa panduan perlu anda patuhi agar penghasilan susu ibu berterusan seperti sedia kala.

set triple m

1) Makan tiga kali sehari
Ibu yang menyusukan memerlukan tambahan kalori sehingga 700 kalori  sehari. Biarpun berpuasa, anda tetap perlu makan tiga kali sehari iaitu ketika bersahur, berbuka puasa dan moreh. Sementara itu, ketika berbuka puasa, pastikan anda makan sedikit tetapi kerap.

2) Makan makanan seimbang
Sewaktu bersahur, berbuka puasa mahupun moreh, anda perlu memastikan bahawa makanan yang diambil adalah seimbang. Biar pun pelbagai jenis makanan yang dijual di Bazar Ramadhan mungkin membuatkan anda rambang mata sehingga membeli makanan berlebihan dan tidak memenuhi keperluan pemakanan yang sihat. Jadi, jangan terlalu ikutkan perasaan. Sebaliknya, makanlah mengikut saranan piramid makanan.

3) Makan kurma
Kurma mengandungi glukosa yang mampu memberikan tenaga segera kepada tubuh. Ia turut kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A dan C serta zat mineral seperti besi, kalsium, sodium dan potasium. Kandungan protein di dalam sebiji kurma adalah antara 1.8-2.0%, 2.0-4.0% serta manakala kandungan gulanya pula adalah 50-57%.

Memandangkan anda memerlukan tambahan kalori, jadi kurma adalah makanan yang paling ideal. Anda sangat digalakkan untuk memakan tiga hingga tujuh biji kurma setiap kali waktu makan terutamnya ketika bersahur.

4) pengambilan banyak cecair
Jumlah cecair yang perlu anda mabil ialah 3 liter sehari atau lebih. Anda digalakkan untuk banyakkan minum air kosong bermula dari waktu berbuka sehingga sahur dan menjelang waktu imsak. Cara mudah memastikan anda mendapat bekalan air mencukupi ialah dengan meletakkan bekas berisi air kosong di tepi katil agar anda dapat meminumnya ketika terjaga sebentar daripada tidur sebelum waktu sahur.

Selain air kosong, jenis cecair lain yang boleh diambil ialah jus buah-buahan segar, minuman panas yang memberi tenaga seperti minuman coklat, bermalta dan susu segar. Air panas dipercayai membantu melancarkan pengeluaran susu ibu. Sementara itu, elakkan minuman berais atau sejuk terutamnya ketika waktu sahur atau berbuka. Hal ini kerana air sejuk memaksa badan menghasilkan tenaga haba dengan pembakaran melebihi 70 kalori sekaligus membakar kalori berlebihan.

5) Kerap menyusu dan mengepam
Bagi memastikan lebih banyak susu dihasilkan, maka anda perlu kerap menyusukan bayi. Bagi yang bekerja dan berpisah sementara daripada bayi ketika waktu pejabat, anda perlu kerap mengepam payudara. Ingat, semakin banyak susu ibu dikeluarkan, semakin banyak susu ibu dapat dihasilkan. Jika anda kurang menyusukan bayi atau mengepam payudara, jadi secara tidak disedari ia akan menyebabkan susu berkurangan sedikit demi sedikit. Dalam usaha mengepam payudara, sesi berkenaan boleh anda mulakan di awal pagi iaitu ketika waktu sahur. Ketika ini, kebiasannya kuantiti susu ibu lebih banyak.

6) Bertenang dan yakin diri
Anda perlu sentiasa yakin bahawa anda masih boleh meneruskan penyusuan biarpun berpuasa. Jangan sesekali berfikiran bahawa susu ibu berkurangan sehingga tidak cukup untuk melenkapi keperluan anak. Perasaan risau yang dicetuskan oleh diri anda sendiri akan menjejaskan fungsi hormon oksitosin untuk mengeluarkan susu ibu. Fikiran yang tenang, tubuh yang relaks dan sifat yakin diri secara tidak langsung akan membantu melancarkan pengeluaran susu ibu.

Sumber: Pa&Ma, Julai 2013

0 Pembaca Setia:

Catat Ulasan